Terengganu Kekal Agih Zakat Kepada Islam Sahaja – MB
Kenyataan Ahmad Samsuri adalah senada dengan penjelasan Mufti Terengganu, Dato’ Dr Zulkifly Muda memaklumkan, tiada fatwa di negeri itu yang meluluskan supaya zakat diagihkan kepada golongan bukan Islam.
Katanya, beliau tidak bersetuju zakat diberikan orang bukan Islam kerana zakat dikaitkan dengan ibadat dan ia mempunyai kesuciannya tersendiri.
“Sehingga ada ulama yang kata diberikan kepada orang tidak solat pun tidak dibenarkan, apatah lagi kepada orang bukan Islam,” ujarnya kepada Ismaweb.net pada 2 November lalu.
Menurut Zulkifly, kebanyakan ulama berpendapat bahawa agihan zakat hanya perlu diagihkan kepada umat Islam serta tidak membenarkan ia diberi kepada bukan Islam.
“Pengagihan zakat kepada bukan Islam bertentangan dengan undang-undang zakat.
“Jadi, ia harus dilaksanakan berteraskan undang-undang ibadat itu kerana zakat mempunyai kesucian tersendiri,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau juga berkata, namun terdapat juga ulama mengatakan bahawa zakat hanya boleh diagihkan kepada bukan Islam, sekiranya mereka diyakini akan memeluk Islam.
“Oleh itu, dakwah kita terhadap bukan Islam secara langsung akan sampai kepada mereka,” katanya.
Baru-baru ini timbul satu pandangan yang mahu agihan zakat turut disalurkan kepada golongan bukan Islam.
Pandangan itu menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan agamawan dan masyarakat, termasuk daripada Mufti Perlis dan Sabah, Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Dato’ Bungsu Aziz Jaafar yang bersetuju golongan bukan Muslim di negeri itu harus menerima wang zakat.
Manakala, Perak dan Selangor belum berhasrat untuk mengeluarkan wang zakat kepada bukan Muslim kerana masih banyak orang Islam di negeri itu perlu dibantu menerusi kutipan wang berkenaan.
by: Teganu Kita