Operasi PGA Menebang & Menmusnahkan Ladang Durian Haram di Raub

Kawalan PGA lancarkan operasi tebang, musnah ladang durian haram

RAUB, PAHANG: Operasi tebang dan musnah ladang durian haram dalam Hutan Simpan Batu Talam di sini, berjalan lancar hari ini susulan kehadiran anggota polis daripada Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA).

Sebelum ini, provokasi melampau pekebun yang menceroboh hutan itu pada hari kedua operasi menyebabkan perasaan bimbang menghantui petugas yang terbabit dalam usaha tebang dan musnah tanaman itu.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Nor Azirim Ahmad, menyifatkan kehadiran lebih ramai anggota PGA mulai semalam, seolah-olah menyuntik semangat baharu kepada penebang dan petugas lain.

Beliau difahamkan, seramai 30 anggota PGA menyertai operasi itu mulai semalam dan hari ini seramai 30 lagi turut sama bergabung menjaga keselamatan petugas yang berada di dalam Hutan Simpan Batu Talam.

Katanya, anggota polis dan PGA turut mengadakan dua sekatan jalan raya (SJR) di laluan utama masuk ke kawasan terbabit, selain kawalan membabitkan jambatan konkrit yang sebelum ini dua kali dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya berharap operasi kini berjalan lancar tanpa sebarang gangguan mana-mana pihak dan provokasi oleh pihak tidak bertanggungjawab tidak berulang lagi.

“Hari ini juga kita menambah lebih 30 kakitangan JPNP daripada beberapa daerah untuk turut sama menyertai operasi musnah, menjadi kira-kira 65 petugas yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan penebang,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Nor Azirim yang turut menyertai operasi itu, berkata kehadiran anggota Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP) melancarkan lagi aktiviti menebang pokok durian kerana mereka berkemahiran tinggi dan mempunyai lebih kelengkapan.

Beliau berkata, pihaknya berharap operasi musnah kebun durian Musang King yang ditanam secara haram dalam Hutan Simpan Batu Talam seluas kira-kira 101 hektar dapat diselesaikan secepat mungkin lebih awal yang tetapkan sebelum ini.

Sumber: Berita Harian
Oleh: Mohd Rafi Mamat
bhnews@bh.com.my

Kongsikan Pada Sahabat Kita Yang Memerlukannya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *