Larangan Arak: Buat MALU Dengan SINGAPURA Sahaja.

Sebagai sebuah negara yang termaktub Islam sebagai agama Persekutuan dalam perlembagaan dan mempunyai penduduk majoriti Melayu dan Islam, Malaysia sepatutnya malu dengan tindakan proaktif dan realistik kerajaan Republik Singapura yang memperkenalkan undang-undang baru melarang pengambilan alkohol di tempat-tempat awam selepas 10.30 malam hingga 7.00 pagi.

Lebih daripada itu, Singapura juga telah mewartakan dua “liquor control zones” iaitu di Little India dan Geylang.

Di kedua-dua kawasan ini pengambilan alkohol tidak dibenarkan pada semua masa pada hujung minggu dan cuti am.

Melalui undang-undang yang baru diluluskan oleh parlimen negara itu awal tahun ini juga, hukuman bagi kesalahan menjual dan meminum arak dalam waktu larangan di tempat awam akan dikenakan denda sebanyak SG$1,000.

Manakala bagi kesalahan berulang pula dikenakan denda SG$2,000 dan boleh dipenjarakan sehingga tiga bulan.

Bagi penjualan alkohol di luar waktu dagangan yang ditetapkan dalam lesen pula, mereka boleh dikenakan denda sehingga SG$10,000.

Malangnya Malaysia yang mempunyai 56.4 peratus rakyat berbangsa Melayu dan 61.3 peratus beragama Islam telah disenaraikan oleh World Health Organisation (WHO) dalam laporannya pada 2011 sebagai negara pengguna alkohol yang ke-10 terbesar di dunia walaupun saiz dan populasi penduduknya kecil berbanding negara-negara lain.

Statistik oleh sebuah badan antarabangsa juga mendapati rakyat Malaysia berbelanja lebih daripada AS$500 juta (RM1.5 bilion) setiap tahun untuk alkohol dengan pengambilan per kapita sebanyak 7 liter.

Walaupun angka ini adalah rendah berbanding negara-negara barat yang lain, namun ia adalah tinggi bagi negara-negara Asia.

Penggunaan arak di Malaysia pula ialah sebanyak 11 liter per kapita.

Angka ini dikira sebagai tinggi dan dikatakan hampir sama dengan negara-negara Eropah.

Perkara ini seharusnya dipandang serius oleh Kerajaan Malaysia.

Sekiranya Singapura yang hanya mempunyai 14 peratus rakyat berbangsa Melayu dan 14.9 peratus beragama Islam boleh meluluskan dan menguatkuasakan undang-undang seumpama ini, Malaysia sepatutnya boleh dan perlu melakukan lebih daripada itu.

Tanggungjawab ini juga wajib dilaksanakan selaras dengan roh syariat Islam yang mengharamkan arak demi memelihara akal manusia dan kerana arak juga adalah ibu segala maksiat.

Sekiranya penjualan dan pengambilan arak ini berjaya dibendung secara sewajarnya, nescaya pelbagai masalah sosial dan jenayah dapat dibanteras.

Data-data berikut dapat memberikan gambaran yang lebih jelas tentang kesan negatif minuman beralkohol yang memabukkan:

(i) Laporan Status Global mengenai Alkohol dan Kesihatan 2011 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan pengambilan alkohol menyebabkan kematian 2.5 juta orang setahun di samping menjadi punca penyakit serta kecederaan kepada lebih ramai orang.

(ii) Statistik daripada Kementerian Kesihatan menunjukkan 24.6 peratus mereka yang mengambil minuman beralkohol ini adalah untuk mabuk.

(iii) Berbeza dengan ketagih dadah, ketagihan kepada alkohol tidak boleh serta merta berhenti. Berhenti serta merta boleh mengakibatkan sawan dan mereka juga berhadapan risiko untuk maut.

(iv) Antara penyakit kronik yang dikaitkan dengan pengambilan alkohol adalah penyakit kardiovaskular, kanser mulut, tekak, payu dara serta penyakit hati.

(v) 48 peratus daripada kes kecelaruan mental dan tingkah laku berpunca daripada pengambilan alkohol.

(vi) Laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat juga menunjukkan 5.3 peratus kes keganasan rumah tangga berpunca daripada alkohol manakala 4.5 peratus kes penderaan kanak-kanak.

(vii) Insiden pergaduhan kaum akibat mabuk sepanjang 2010 ialah 71 kes, 2009 sebanyak 79 kes, 2008 dengan 131 kes.

(viii) Mengikut Jabatan Keadilan Amerika Syarikat pada tahun 1996 sahaja, purata 2,713 kes rogol berlaku setiap hari. Kebanyakan dari perogol mabuk semasa melakukan jenayah tersebut.

(ix) Menurut satu statistik di UK, alkohol telah menyebabkan 45 hingga 46% kejadian jenayah, melibatkan 39% keganasan dalam rumah tangga.

Oleh itu, saya menyeru dan mendesak kerajaan Malaysia agar segera memulakan inisiatif untuk menguatkuasakan larangan penjualan arak di dalam kapal terbang dan dan penjualan secara terbuka di kedai-kedai runcit.

Saya juga ingin mengingatkan Kerajaan dengan amaran dan peringatan daripada Allah SWT seperti dalam firman-Nya berikut yang bermaksud :

“Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang.

“Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”

Copy paste dari group lain tak tau siapa penulis

Mungkin maklumat tersebut boleh dijadikan panduan untuk kerajaan PN. Perubahan2 drastik seperti ini barangkali boleh membuka mata rakyat malaysia yg cintakan keamanan.

Semoga kerajaan PN diberi kekuatan & mendapat pertolongan Allah.

Kongsikan Pada Sahabat Kita Yang Memerlukannya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *